header-photo

ikan kelah

Kelah adalah spesis ikan Kap dalam keluarga Cyprinidae yang bersisik serta mempunyai garisan lateral (tengah) yang jelas kelihatan di tengah-tengah bahagian badan dan juga mempunyai bentuk sisik yang besar dan cantik. Jumlah sisik di bahagian garisan lateral (tengah) ikan dewasa kebiasaannya adalah antara 20 hingga 30 keping. Ikan kelah juga mempunyai beberapa sirip seperti pektoral, pelvik, dorsal, anal dan sirip kaudal (ekor). Perbezaan jelas ikan kelah dewas dengan ikan lain yang semiripnya ialah lebihan daging yang terdapat di bawah dagunya. Bagi membezakan anak ikan kelah dengan ikan lain pula ialah dengan melihat terus kepada siripnya yang bercahaya seolah-olah ia membawa lampu kalimantang. Ikan kelah ini boleh membesar sehingga lebih daripada 50 kilogram dan mudah dikenali kerana memiliki bibir dan mulut yang besar. Faktor persekitaran habitatnya mempengaruhi bentuk badan ikan Kelah samada akan lebih lonjong atau lebar.

   Sejauhmanakah sukarnya membuktikan kebenaran pepatah lama yang mengatakan "sekilas ikan di air ku tahu jantan betinanya".  Seperti spesis ikan normal yang lain, Ikan kelah juga mempunyai dua kelas jantina iaitu jantan dan betina. Tips mudah bagaimana hendak membezakan jantinanya ialah dengan melihat terus kepada sirip sebelum ekornya. Sirip belakang kelah jantan kelihatan tajam manakala sirip belakang betina jelas membulat. Ikan kelah yang telah mencapai berat 800 gram keatas telah dikira matang sebenarnya walaupun banyak pendapat menegaskan bahawa umur matang bagi ikan kelah dewasa hanya setelah ia mencapai berat empat kilo atau berusia sepuluh tahun keatas. Untuk membuktikannya kebenarannya, sila la belah perut terlebih dahulu ikan kelah betina yang beratnya kira-kira 800 gram sebelum anda memasaknya. Jangan terkejut dengan apa yang bakal anda saksikan nanti.

  
   Info penting seterusnya ialah ikan kelah betina sebenarnya akan bertelur sepanjang tahun dan kerap kali mengeluarkan telur pada musim selepas hujan di celah-celah batu atau lopak air di sekitar kawasan sungai. Kebiasaannya ia akan mengeluarkan telur secara sedikit demi sedikit mengikut kematangan telur berbanding dengan ikan lain yang mengeluarkan telur secara sekaligus. Proses berteluar pula dilihat agak menyeksakan kerana induk betina akan cuba menghempas perutnya sekuat mungkin ke dasar sungai berbatu. Selepas itu, induk jantan yang berdekatan akan melepaskan cairan sperma ke sekitar telur betina tadi. Setakat artikal ini ditulis, belum ada penjelasan mutlak atau kajian lengkap menerangkan berkenaan tindakan lanjut induk-induk kelah keatas telurnya sama ada akan terus menjaganya sebagaimana tindakan beberapa spesis ikan yang lain atau pun induk akan terus pergi meninggalkan telur-telur yang telah disenyawakan untuk diuruskan sepenuhnya oleh alam semula jadi.  Alam ciptaan Tuhan sebenarnya.

*sumber dari: http://aku-tausug.blogspot.com/2010/12/kenali-kelah-dan-alamnya.html